ayatul kursi

ayatul kursi

Monday, April 30, 2012

CARA MEMASTIKAN SUCI DARI HAID


Soalan; Assalamulaikum. Bagaimana untuk mempastikan seseorang perempuan itu telah betul-betul suci dari haidnya. Berapa lama masa yang perlu ditunggu dari darah haid yang terakhir. Sekian terima kasih.

Jawapan;

1. Sekiranya tempoh kedatangan haid belum genap 15 hari, hendaklah dipastikan darah benar-benar habis, barulah mandi. Cara untuk memastikannya ialah dengan memeriksa faraj, iaitu dengan meletakkan kain atau kapas; jika tiada sebarang kesan warna pada kapas atau yang kelihatan ialah cairan putih, itu petanda bahawa darah telah habis dan bolehlah mandi. Jika masih ada kesan warna termasuklah keruh atau kuning, hendaklah ditunggu hilang kesan itu, barulah boleh mandi. Cara ini adalah berpandukan hadis dari Saidatina ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- yang menceritakan; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

2. Jika tempoh haid telah genap 15 hari, hendaklah terus mandi kerana tempoh haid paling lama ialah 15 hari. Maka yang datang selepas hari ke 15 itu dari segi Syarak ia bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah.

3. Berapa lama perlu ditunggu? Persoalan ini tidak berbangkit kerana yang menjadi ukuran ialah hasil dari pemeriksaan faraj. Apabila seorang wanita merasakan haidnya telah habis, ia hendaklah memeriksa farajnya. Jika tidak ada lagi tanda-tanda haid (yakni tidak kelihatan sebarang tanda darah atau yang kelihatan hanya cairan putih sebagaimana dinyatakan tadi), ia boleh terus mandi. Jika masih ada tanda-tanda haid, ia hendaklah terus menunggu. Kecualilah jika didapati tempoh telah melebihi 15 hari, maka tidak perlu lagi ia menunggu, akan tetapi hendaklah terus mandi sekalipun masih ada kesan/tanda darah.

4. Bagaimana jika selepas mandi di dapati kesan darah masih ada atau darah keluar semula? Dalam kaedah Fiqh, ada dinyatakan "Tidak dikira sangkaan yang ternyata salah". Dalam kes ini jika seorang wanita melihat semula kesan darah pada farajnya selepas mandi atau darah keluar semula selepas mandi, kesan darah itu menunjukkan bahawa sangkaannya bahawa darah haidnya telah habis telah ternyata salah. Maka mandi wajibnya tidak dikira. Ia hendaklah menunggu semula hingga darah benar-benar habis, barulah mandi semula. Ini dengan syarat darah yang dilihat semula itu masih dalam lingkungan 15 hari (dari mula kedatangan haid). Jika ia dilihat di luar dari lingkungan 15 hari (seperti dilihat pada hari ke 16 atau ke 17), ia tidaklah menjejaskan mandi kerana yang keluar itu bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment